SELANGOR FC
BERITA

Selangor FC Umum Nidzam Jamil Selaku Ketua Jurulatih Bagi Mengharungi Musim 2024/2025

Mar 16, 2024 - FAS

SELANGOR FC UMUM NIDZAM JAMIL SELAKU KETUA JURULATIH BAGI MENGHARUNGI MUSIM 2024/25

Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Nidzam Jamil sebagai Ketua Jurulatih Gergasi Merah untuk musim 2024/2025 yang akan bermula tidak lama lagi.

Dr. Johan Kamal Hamidon, Ketua Pegawai Eksekutif SFC berkata, “Kami telah membuat penilaian secara terperinci dan kolektif, serta melihat keupayaan yang telah ditunjukkan oleh Nidzam semasa beliau berkhidmat sebagai Penolong Ketua Jurulatih untuk musim-musim sebelum ini. Nidzam mempunyai pengalaman luas dalam kancah bola sepak Malaysia, memahami budaya dan hala tuju kelab serta amat mengenali para pemain SFC. Bagi kami, beliau adalah insan yang tepat untuk mengisi kekosongan ini dan mengetuai cabaran SFC bagi musim 2024/2025.”

Dilahirkan dan membesar di pekan Kajang, Nidzam Jamil merupakan bekas pemain Selangor pada tahun 2000 hingga 2004. Antara pencapaian beliau sebagai pemain Gergasi Merah adalah kejayaan menjulang Piala FA 2001, Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia pada tahun 2002. Selain rekod cemerlangnya sebagai seorang pemain, beliau juga telah mencipta rekod yang baik sebagai Ketua Jurulatih sejak dari 2010 bersama SPA FC dan Felda United FC.

Pada November 2021, Nidzam Jamil secara rasmi kembali bagi menabur bakti kepada skuad Merah Kuning setelah bersetuju untuk menjadi Penolong Ketua Jurulatih pasukan untuk musim 2022 bagi membantu Michael Feichtenbeiner. Pada tahun yang sama, beliau juga telah dilantik sebagai Ketua Jurulatih ‘interim’ untuk beberapa perlawanan dan kembali sebagai Penolong Ketua Jurulatih untuk tahun seterusnya selepas pelantikan Tan Cheng Hoe pada ketika itu.

Pihak pengurusan amat berbangga dan berbesar hati mengumumkan Nidzam Jamil sebagai Ketua Jurulatih rasmi yang baru skuad SFC. Semoga dengan pelantikan serta kepercayaan ini, Nidzam Jamil dapat membuktikan keupayaan beliau sebagai Ketua Jurulatih yang disegani di Malaysia dan juga di pentas Asia bersama SFC. Ayuh, kita berikan sokongan tanpa berbelah bahagi buat Coach Nidzam dan Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!